Perhatikanlah kehidupan kita hari
ini. Bagai dikejar bayang-bayang yang menghantui setiap manusia tanpa
kita tahu siapa sebenarnya yang menghantui kita dan dihantui. Kita
saling bermusuhan antara satu sama lain walaupun telah diamanahkan mata,
hidung, mulut dan semua anggota lain yang serupa. Bercakap bunyi yang
sama, Islam yang sama tetapi tiada keluhuran dalam kehidupan. Apa
sebenarnya yang telah berlaku?
Ramai
dikalangan kita yang bercakaran hanya kerana kepentingan dunia peribadi
masing-masing tanpa menghiraukan kehidupan yang kekal selamanya. Hidup
hari ini lebih senang mengejar material dan berlumba-lumba untuk
memiliki kuasa. Na'uzubillahiminzalik. Bahkan, material dan kuasa ini
juga sebenarnya merupakan amanah yang Allah s.w.t. berikan kepada
manusia, ia akan disoal dan dipertanggungjawabkan nanti. Amanah adalah
tugas mahaberat yang diberikan Allah s.w.t. untuk membezakan kehidupan
akhirat kita.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
"Sesungguhnya
Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi
serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya
dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka
persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan
persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya
tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula
membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan." (Al-Ahzab 33: 72)
Begitulah,
telah Allah catat sejak dahulu lagi tentang amanah yang dipikulkan pada
awalnya kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, tetapi mereka
enggan untuk memikulnya. Ia merupakan satu petunjuk bahawa amanah
sebagai khalifah merupakan sesuatu yang amat besar untuk dilaksana
sebagai manusia. Allah jadikan perbandingan manusia dengan kegagahan dan
keluasan langit, bumi serta gunung-ganang. Jika kita fikirkan dari segi
fizikal adakah mampu untuk kita tandingi? Tetapi, upaya akal juga
amanah untuk kita guna dengan sebaiknya.
"Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu, dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras" (Ibrahim 14: 7)
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah. Demikianlah peringatan Allah s.w.t. dengan
setiap amanah yang diberikan yang kita sering sangkakan itu sekadar
rezeki, kelebihan atau kemudahan sebagaimana mudah kita sangkakan
kesusahan itu musibah, kemalangan itu satu kerugian. Sedangkan, setiap
kejadian itu atas perancangan Allah s.w.t.. Jika dengan iman kita
melihat maka yang kita rasai adalah kemanisannya, baik kebaikan atau
kemalangan yang kita terima. Ia juga adalah amanah untuk dijaga,
dipenuhi dan laksana dengan baik. Amanah berasal dari perkataan arab
'amuna', 'ya'munu', 'amanatan' yang membawa erti aman tenteram. Kemudian
terbit perkataan 'amanah' yang bermaksud saling percaya.
Mari
kita fahami bahawa, dari sudut bahasanya, amanah ini membawa maksud
kejujuran yang membawa kepada perasaan aman dan tenteram sehingga lahir
perasaan saling mempercayai. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjaga amanah
maka dia berusaha untuk menjaga harga dirinya dan sekaligus kita lihat
ia adalah serangkaian makna dengan 'iman'. Kita lihat sahaja contoh yang
semua kita tahu bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. diberikan gelaran
'al-amin'. Manfaatnya besar kepada diri dan kepada masyarakat yang
diketuainya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang disebutkan oleh Anas bin Malik
yang bermaksud, "Tidak ada iman bagi yang tidak amanah (tidak jujur
dan tidak boleh dipercayai), dan tidak ada dien bagi yang tidak menepati
janji." (HR Baihaqi)
Maka
kejayaan sebenar kita adalah bergantung kepada usaha untuk menjaga
harga diri dan amanah yang Allah s.w.t. berikan kepada kita sama ada
harta, pangkat, ilmu, kelapangan masa, peluang bekerja dan sebagainya.
Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Jika engkau
memiliki empat hal, engkau tidak akan rugi dalam urusan dunia; menjaga
amanah, jujur dalam berkata, berakhlak baik, dan menjaga harga diri
dalam (usaha, bekerja) mencari makan." (HR Ahmad)
Kesimpulannya,
amanah akan dipertanggungjawabkan dan menerima balasan yang setimpal
kepada orang yang diamanahkan. Amanah bukan hanya material, tetapi
setiap sudut kehidupan dan setiap saat ini adalah amanah yang akan
dipersoalkan. Amanah adalah sesuatu yang mahaberat tetapi kita tidak
dapat merasainya melainkan dengan iman. Ingatlah firman Allah s.w.t. di
dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;
"Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah
dan Rasul Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu,
sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Anfal 8: 27)

Ulasan
Catat Ulasan