KENANGLAH DOSA DIRI, PELIHARA AGAMA DALAM DIRI
Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang bersih." (Al-Baqarah 2: 222)
Ramadhan sudah tiba ke penghujungnya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Awal Ramadhan itu rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya terlepas dari azab api neraka."
Itulah pesanan Rasulullah dan amat beruntunglah mereka jika doa yang
dibaca setiap hari dibalas dengan kasih sayang Allah s.w.t. di dalam
Ramadhan ini. Wahai Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia
(rahmat), dan kebaikan di akhirat (keampunan) dan jauhkan kami dari azab
api neraka (itqan minannar).
Doa
yang selalu disebut dan dibaca selepas kita solat 5 hari semalam, Allah
permudahkan permintaan kita dengan mendatangkan bulan yang sangat
istimewa untuk kita semua. Namun, apakan daya, inilah masa, ketika
tibanya kita terleka, semasa perginya menyesali dalam diri. Ramadhan
hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ya Allah ampunkanlah daku Ya
Allah.
Mudah-mudahan
kelekaan dan kealpaan itu diampunkan Allah s.w.t. dan dipanjangkan umur
kita bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Ambillah kesempatan ini
wahai sahabat pembaca untuk memohon kepada Allah s.w.t., jika sekiranya
kita tidak dapat bertemu atau dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar,
maka pohonlah agar kita diterima sebagai hambanya yang solih. Sabda
Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya malaikat di sebelah kiri akan
mengangkat penanya selama enam jam terhadap hamba Muslim yang membuat
kesalahan. Jika dia menyesali dan meminta ampun kepada Allah daripada
dosa tersebut, maka akan dilemparkan sahaja dosa tersebut. Jika dia
membuat sedemikian, maka akan ditulis sebagai satu dosa." (At-Tabrani)
Maka,
wahai sahabatku, usahlah berputus asa dengan Allah s.w.t. dan
bertaubatlah. Apa yang perlu kita khuatirkan jika hati kita tidak ada
perasaan atau terdetik untuk memikirkan dosa-dosa kita dengan Allah
s.w.t.. Dosa dengan Allah s.w.t. adalah dosa yang pasti diampunkan Nya
kita hati ini sepenuhnya ingin bertaubat, dan berbeza dengan dosa yang
kita lakukan sesama manusia. Imam Muslim mencatatkan sabdar Rasulullah
dari lidah Ibnu Abbas yang bermaksud, "Sesungguhnya, ada segolongan
manusia, daripada golongan muysrik yang membunuh dan banyak membunuh.
Mereka juga berzina dan banyak berzina. Kemudian mereka mendatangi
Muhammad s.a.w. lalu mereka berkata, 'Sesungguhnya, apa yang kamu
katakan dan apa yang kamu bawakan sungguh baik. Jika kamu memberitahu
kami terhadap apa yang telah kami lakukan itu, akan dihapuskan
dosa-dosanya.'"
Maka Allah s.w.t. telah menjawab pertanyaan mereka di dalam surah Al-Furqan ayat 68 yang bermaksud;
"Dan
juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah,
dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali
dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula
berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan
dosanya." (Al-Furqan 25: 68)
Namun, Allah s.w.t. melepaskan mereka daripada kesalahan mereka sebagai firman Nya dalam ayat seterusnya yang bermaksud;
"Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka
orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka
dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka
sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan
sebenar-benar taubat." (Al-Furqan 25: 70-71)
Janji
Allah s.w.t. itu pasti. Masih ada tempat untuk kita bertaubat kerana
Allah s.w.t. pasti menunggu kita dipintu taubat sebelum kita terlambat.
Setiap orang yang bertaubat itu hendaklah menyesali atas dosa yang
dilakukan, berhenti dari melakukannya serta berazam untuk tidak
mengulanginya lagi dan jika dosa itu adalah kepada makhluk Nya, maka
adalah wajib untuk mengmbalikan hak-hak mereka. Maka itulah amal solih
yang diiringi dengan taubat. Maka insyaAllah, taubat kita diterima
Allah.
Kata
seorang Muqarrabin, "Jika kami terhalang untuk solat malam dan berpuasa
sunat, itu petanda kami telah terbelenggu oleh dosa-dosa." Dosa ini
dapat memberikan kesan kepada hati. Ia akan melemahkan, hati menjadi
kelam, keras dan hitam serta akhirnya ia akan menghalang kita dari
membuat amal ibadah. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud, "Seorang Mukmin jika berbuat dosa maka ternodalah hatinya
dengan satu titik hitam. Jika dia bertaubat meninggalkannya,
beristighfar, hatinya kembali jernih. Jika dosa bertambah, maka titik
hitam pun bertambah dan menutup hatinya. itulah penutup yang disebut
Allah di dalam Al-Quran."
Bertaubatlah
segera sebelum wakil Allah s.w.t. Izrail menjenguk kita. Bertaubatlah
segera sebelum tua kerana semakin tua, hati akan menjadi semakin keras.
Pesan Imam Al-Ghazali kepada anaknya, "Wahai anak, sebahagian nasihat
daripada Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, 'Tanda-tanda bahawa Allah
s.w.t. berpaling daripada seseorang adalah apabila dia membuang waktu
untuk sesuatu yang tidak bermanfaat dan jika seseorang leka sebentar
sahaja dari umurnya dan mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh Allah
s.w.t. maka, sesungguhnya merupakan penyesalan, dan sesiapa yang telah
berumur lebih dari 40 tahun, tetapi kebaikannya belum mengatasi
kejahatannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka.'"
Bertaubatlah
kerana semakin lama, maka akan semakin sukarlah kita memenuhi syarat
taubat itu. Berdosa dengan Allah s.w.t. bertaubatlah, dan berdosa dengan
makhluknya maka pohonlah kemaafan dari mereka, namun, kemaafan
manusialah yang sukar untuk kita langsaikan. Fikirkanlah. Pada hari
kemenangan kita nanti (Aidilfitri), itulah adat melayu, memohon kemaafan
dari sesama Muslim indah dan penuh keinsafan. Namun ingatlah, memohon
kemaafan bukan sekadar apabila datang hari raya Aidilfitri bahkan setiap
hari. Usahlah kita lupa pula untuk mengucapkan dan meraikan kejayaan
kita dengan mengucapkan "Semoga Allah menerima (amal) ku dan (amal)
kamu."
Pada hari kemenangan ini, kami ABIM Kuala Selangor dan Tanjung Karang juga tidak lupa untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Haji Rafai yang baru sahaja kehilangan isterinya dan ibu kepada anak-anaknya. Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. ABIM Kuala Selangor dan Tanjung Karang berharap, pergerakan dakwah akan lebih subur selepas tamatnya Ramadhan pada kali ini. Kami amat mengharap dan ingin melibatkan ramai remaja dan belia dalam pembangunan peribadi serta pembangunan kefahaman yang baik tentang agama dalam masyarakat setempat ini. Semoga niat murni ini dapat dilaksanakan dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. serta dipandang sebagai salah satu amal soleh kita di dunia sebagai bekalan ke akhirat kelak.
Pada hari kemenangan ini, kami ABIM Kuala Selangor dan Tanjung Karang juga tidak lupa untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Haji Rafai yang baru sahaja kehilangan isterinya dan ibu kepada anak-anaknya. Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. ABIM Kuala Selangor dan Tanjung Karang berharap, pergerakan dakwah akan lebih subur selepas tamatnya Ramadhan pada kali ini. Kami amat mengharap dan ingin melibatkan ramai remaja dan belia dalam pembangunan peribadi serta pembangunan kefahaman yang baik tentang agama dalam masyarakat setempat ini. Semoga niat murni ini dapat dilaksanakan dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. serta dipandang sebagai salah satu amal soleh kita di dunia sebagai bekalan ke akhirat kelak.


Ulasan
Catat Ulasan