Alhamdulillah, tidak terlewat untuk kita bersyukur kerana masih menjadi
tetamu Allah s.w.t. di dalam bulan yang penuh kemuliaan, keberkatan dan
rahmat kasih sayang Allah s.w.t. ini. Ramadhan merupakan bulan yang
dinantikan kita semua sebagai umat Islam yang sentiasa komited untuk
melaksanakan syariat dengan sebaik mungkin. Ramadhan merupakan satu
bulan di mana ianya telah dimuliakan oleh Allah s.w.t., Rasulullah
s.a.w. dan seterusnya diikuti oleh semua sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w. serta para tabi' dan tabi'in sesudah mereka.
Ramadhan,
di dalamnya telah hampir sempurna perlaksanaan syariat Islam bermula
dari solatnya, puasanya, zakatnya cuma yang tinggal adalah menunaikan
haji ke Baitullah. Memang tidak syak lagi, inilah bulan kemuliaan bagi
umat Islam. Ramadhan juga dikenali sebagai bulan penawar segala
penyakit. Apabila seluruh umat Islam menahan diri mereka dari lapar dan
dahaga dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Ini menjadikan pada
bulan ini, pemakanan umat Islam terjaga dan terkawal berbanding
bulan-bulan sebelumnya. Oleh yang demikian, ramailah yang beranggapan
bahawa, pada bulan inilah perlu diperbanyakkan ibadah dan kebaikan
kerana kemuliaan dan keistemewaannya. Itu tidaklah salah, tetapi, bagi
seorang Mukmin, Ramadhan adalah bulan yang menjadi kemuncak setiap
amalan yang dibuat pada bulan-bulan sebelumnya.
Kata
Al-Imam Al-Ghazali, puasa itu terbahagi kepada 3 peringkat iaitu puasa
umum, khusus dan khususul khusus. Perbincangan ini kita ulangi pada
setiap kali datangnya Ramadhan. Perlulah kita ingat bahawa, Ramadhan
yang kita lalui hari ini adalah peluang sekali lagi yang diberikan Allah
s.w.t. untuk kita memperbaiki diri kita jika dahulunya puasa kita hanya
menahan lapar dan dahaga, maka hari ini ia perlu ke peringkat mengawal
diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala
berpuasa.
Maka, pada awal Ramadhan, moga-moga kita telah banyak memohon
kemaafan antara sesama saudara kita dan jadikanlah Ramadhan ini bulan
perdamaian dan disitulah tersembunyinya rahmat Allah. Jauhkan diri dari persengketaan dan maafkanlah mereka yang
melakukan kesalahan terhadap diri kita. Kemaafan ini akan meleraikan
kekusutan dalam perhubungan manusia sekaligus membina jambatan rahmat
Ilahi kepada manusia semuanya.
Jangan
pula kita lupa untuk memuliakan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir,
membaca Al-Quran, solat terawih, bangun malam serta sentiasa
menghidupkan hari-hari Ramadhan dengan amalan yang dapat menambah
keyakinan kita terhadap Allah s.w.t. serta mendekatkan diri kita dengan
yang Maha Pencipta sambil mengharap dapat dipilih oleh Allah s.w.t.
untuk bertemu malam lailatul qadr yang keistimewaannya itu menyamai 83
tahun (lebih kurang) beribadah. Inilah sebagaimana yang disebutkan, awalnya Ramadhan adalah rahmat, ditengahnya maghfirah dan hujungnya terselamat dari azab api neraka.
Perbanyakkanlah
bersedeqah kepada golongan yang dhaif yakni mereka yang memerlukan.
Hiburkanlah hati mereka dengan bantuan ikhlas serta buktikan kepada
mereka bahawa Muslim tidak melupai mereka yang susah dan sentiasa
mengetahui bahawa di dalam setiap rezeki kita ada hak untuk mereka.
Juga,
kita beringatlah, bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan ibadah
itu terbahagi kepada dua bahagian, ibadah khusus dan ibadah umum.
Biasanya, umat Islam akan melebihkan ibadah khusus sehingga mereka
hampir melupakan bahawa terdapat ibadah umum yang juga punca pahala yang
besar seperti bersungguh-sungguh melaksanakan pekerjaan yang menjadi
amanah, mencari rezeki yang halal untuk keluarga, berkata-kata dengan
perkataan yang baik, memuji orang lain, mendengar nasihat dan
sebagainya. Maka usahlah kita terleka dan terlupa pada usaha ini
seharusnya ia menjadi semakin rancak apabila memasuki bulan Ramadhan.
Akhir
sekali mari kita ingatkan bahawa, contoh dan ikutan yang terbaik buat
kita adalah Rasulullah s.a.w.. Berpuasa dan beribadahlah sebagaimana
Baginda s.a.w.. Baginda bersahur dan apabila bersahur baginda gemar
memakan kurma atau tamar. Apabila Baginda berpuasa maka Baginda berbuka
dengan segera. Baginda mulakan dengan memakan tamar, kurma atau makanan
yang tidak terkena api. Maka, pada bulan ini, rancakkanlah aktiviti
harian kita dengan perkara yang baik dan mendatangkan manfaat sama ada
untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain yang hampir atau bersama
dengan kita. Jom kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan
mendapat pahala dan keberkatan.

Ulasan
Catat Ulasan