Kita telah pun berada dipenghujung Ramadhan Al-Mubarak, 'itqan minannaar'. Bulan yang penuh dengan
keberkatan dan kemuliaan yang Alah hadiahkan khusus buat ummat Nabi
Muhammad s.a.w.. Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t.
kerana masih memilih kita sebagai peserta kursus Ramadhan bagi tahun
1433H sehingga ke penghujungnya insyaAllah.
Ramadhan
adalah ibarat sebuah penganjuran kursus besar-besar yang dibuka
penyertaannya kepada seluruh ummat manusia. Pada awal tawaran
kursus ini, ada yang bergembira kerana mandapat peluang untuk
menyertainya, ada yang berasa gundah gulana kerana merasakan dirinya
akan berkurang tenaganya, tak kurang juga yang merasakan ia akan
menyusahkan hidupnya. "Kenapalah aku kena masuk kursus ini!?" Bentak
sekalian dari kita. Macam adik-adik kita bila dipanggil masuk mana-mana kursus.
Beginilah reaksi sebahagian dari mereka.
Namun,
dalam kesibukan kita memikirkan tentang tawaran kursus besar-besaran
ini, ada sebahagian dari kita yang walau ditawarkan tetapi mereka tidak
dapat hadir. Tidak kurang juga yang telah menyertai tetapi tidak sempat menamatkannya. Kerana apa, kerana telah dijemput awal untuk menghadap
Allah s.w.t.. Umur mereka tidak panjang untuk menempuh Ramadhan 1433H.
Maka, apabila dikatakan sebagai kursus, maka pelbagai bentuk peserta
yang dapat kita kenalpasti di dalamnya. Ada yang sangat teruja dan
mengambil bahagian dengan sebaiknya, ada yang sambil lewa sahaja, apa
yang disuruh buat, tetapi tidak bersungguh dan tidak kurang juga yang
dikatakan sebagai peserta 'nakal'.
Suatu
hari Rasulullah s.a.w. berjalan menaiki mimbar dan dalam perjalanan
tersebut, Rasulullah menyebutkan "Amin", kemudian, "Amin", dan seketika
kemudian lagi, "Amin". Selesai Baginda s.a.w. turun dari mimbar para
sahabat bertanya, mengapakah Rasulullah menyebutkan amin. Maka berkata
Baginda s.a.w., pada ketika itu aku didatangi Jibril dan berkata, "Hai
Muhammad, sesiapa yang sampai pada bulan Ramadhan, dan sehingga akhir
Ramadhan dosanya tidak diampunkan, bererti Allah telah menjauhinya,"
kemudian Jibril meminta Rasulullah s.a.w. mengaminkannya. Berkata Jibril
lagi, "Barangsiapa yang hidup bersama ibu bapanya tetapi sehingga khir
hayat mereka tidak dapt memasuki syurga maka Allah telah menjauhinya,"
maka Rasulullah mengaminkannya. Lalu berkata lagi Jibril, "Barangsiapa
yang mendengar namu disebut, tetapi tidak berselawat ke atas mu, maka
Allah menjauhinya." Kemudian Rasulullah juga mengaminkannya.
Maka,
sepanjang Ramadhan kita berkursus ini, mungkin kitalah yang menjadi 'budak
nakal' yang dikhuatiri terlepas rahmat dan maghfirah dari Allah s.w.t.. Antara
perkara yang 'budak nakal' biasa lakukan adalah meringan-ringankan waktu
bersahur. Tidak bangun sahur atau bersahur awal malam. Rasulullah telah
menyebutkan bahawa dengan bersahur itu terdapat keberkatan di dalamnya.
Bahkan bersahur ini membezakan puasa ahli kitab dan puasa seorang
Muslim. Maka bangunlah sahur, walaupun sempat hanya seteguk air, atau
sebiji kurma.
Kemudian,
apabila ditanya kepada 'budak nakal' ini, apa makna Ramadhan kepada
mereka? Bagi mereka hanyalah berlapar dan dahaga. Sedangkan firman Allah
s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 telah menyebutkan yang
bermaksud;
"Wahai
orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa kamu
sebagaimana mereka yang sebelum kamu berpuasa, agar kamu menjadi orang
yang bertaqwa." (Al-Baqarah 2: 183)
Adakah
dengan berlapar dan dahaga sahaja dapat meningkat ketaqwaan kita?
Merujuk kepada sepotong hadis Qudsi yang bermaksud; "Berkata Allah 'Azza
Wajalla, setiap satu amalan kebajikan anak Adam akan digandakan dengan
10 kecuali puasa, kerana ianya adalah untuk Ku dan Aku sendiri yang akan
membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Jika salah seorang dari kamu
sedang berpuasa, janganlah kamu berkata kotor atau berteriak-teriak
(bertengkar). Jika ada orang yang mencercanya atau berteriak kepadanya,
hendaklah dia menjawab, 'Saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa.'"
Menurut
Imam AL-Ghazali, puasa yang terbaik ialah puasa yang menahan lapar dan
dahaga, menahan anggotanya dari melakukan maksiat serta menutup setiap
ruang keburukan yang datang dari hati dan fikiran iaitulah puasa
khususul khusus. Maka, di dalam hadis Qudsi di atas Allah menjelaskan
melalui lidah Rasulullah s.a.w. 3 perkara iaitu jauhilah dari perkataan
yang buruk seperti mengumpat, mengata, menipu dan sebagainya yang
berkaitan. Kedua, elakkanlah diri dari terlibat dalam pergaduhan,
berselisih pendapat, dan rasa tidak puas hati kerana seorang itu dikira
kuat adalah kerana sabarnya. Ketiga, apabila dihina atau dicerca, maka
kita menjauhi mereka dan menyatakan bahawa kita sedang berpuasa sebagai
tanda kita sedang melatih diri kita untuk membentuk peribadi beriman
melalui kesabaran, ketenangan serta kemaafan.
Begitu
juga dalam suasana berbuka, bagi 'budak nakal' ini, pastinya akan
berlaku pembaziran, tidak mengikut sunnah sehingga melanggar kewajipan
bersolat, apatah lagi bersolat jamaah. Maka, buat 'budak nakal',
contohilah teman-teman yang bersungguh dalam menyertai kursus Ramadhan
ini. Mereka akan bersegera berbuka, memulakan dengan makan buah tamar,
bersegera solat Maghrib berjemaah, bersederhana dalam berbuka serta
menjamu orang lain yang berbuka.
Sudah
tentu, mereka akan mengambil kesempatan menyertai kursus yang terbaik
ini untuk memperbaiki dan meningkat ketaqwaan mereka bukan sahaja dengan
meninggalkan apa yang suka di lakukan oleh 'budak nakal' tadi, bahkan
mereka akan banyakkan bersedekah kerana Rasulullah adalah orang yang
paling dermawan dan kemuncaknya adalah di dalam bulan Ramadhan. Mereka
juga akan memperbanyakkan membaca Al-Quran dan Rasulullah sendiri akan
bertemu Jibril pada setiap malam untuk diperdengarkan ayat-ayat suci
Al-Quran.
'Budak
baik' ini akan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan beristighfar.
Berusaha mencari malam Lailatul Qadar serta menggandakan ibadah mereka
pada 10 malam terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
dengan amalan seperti beriktikaf di rumah Allah s.w.t.. Marilah kita
berusaha menjadikan diri kita sebagai 'budak baik' di dalam kursus
panjang selama 1 bulan ini. Kursus ini amat istimewa dan Allah telah
janjikan buat peserta kursus ini, apabila tamat Ramadhan, mereka akan
meraikan kejayaan mereka dan menyambut dengan gembiranya 'Aid Al-Fitri,
yakni bersih yang kembali kepada fitrah dan juga sudah boleh makan
semula. Muhasabah diri kita sekarang kerana kita hanya berbaki beberapa hari sahaja jika punya kesempatan. Ampunkanlah kami Ya Allah.

Ulasan
Catat Ulasan