MALAYSIA PRIHATIN

Salam Kemerdekaan.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita menyambut dan meraikan sekali lagi Hari Kebangsaan, bersempena dengan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-63 pada tahun ini. Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini bertemakan “Malaysia Prihatin”. Tema ini amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan ini, ‘Malaysia’ yang bermaksud seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemic COVID-19 manakala ‘Prihatin’ pula mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Kita merayakan Hari Kemerdekaan kerana ia menandakan permulaan satu kebebasan - bebas dari pemerintahan orang asing yang telah menjarah kekayaan Negara kita untuk kepentingan rakyat Negara mereka. Semangat ‘MALAYSIA PRIHATIN’ ini bukan sahaja dizahirkan oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malahan rakyat sendiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang. Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Ini petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang.

Saudara dan saudari sekalian.

Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita. Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang. Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila. Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini. Walaupun dengan cabaran yang kita hadapi sekarang ini, kita turut merayakan sambutan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan-bangunan pejabat dan gedung perniagaan serta di kenderaan kita. Ini dilakukan setiap tahun sebagai tanda rasa cinta kita kepada Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara

Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara. Ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara. Kita telah banyak kali menyaksikan Jalur Gemilang ini dikibar seluruh pelusuk dunia apabila rakyat negara ini mencapai sesuatu kejayaan. Adalah diharap agar perasaan ini kekal dihati kita semua. Saya yakin, selagi perasaan ini ada bersama kita semua, apa saja perbezaan,percanggahan dan rasa sangsi yang timbul, Malaysia akan tetap utuh dan maju.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Semoga harapan kita agar Malaysia terus maju, aman dan saksama akan kekal selamanya. “Malaysia Prihatin”.

Sekian.


Muhammad Aidi Imran bin Mohd. Asraf
Pengerusi Perhubungan
PEPIAS Cawangan Kuala Selangor 2020 - 2021




Ulasan

Catat Ulasan