MENJADI ANAK MUDA MALAYSIA PRIHATIN

Bersyukur kita kerana diberikan keizinan oleh Allah s.w.t. untuk terus menghirup udara sebagai rakyat Malaysia yang terus aman dan sejahtera. Inilah nikmat yang tidak dipunyai oleh mereka yang lain, khususnya teman-teman kita yang berada di tanah-tanah bergolak dalam kancah peperangan senjata serta tekanan-tekanan luar yang menghimpit kebebsan kehidupan di tanah tumpah darah mereka. Covid-19 adalah ujian buat kita rakyat Malaysia untuk menilai dan bermuhasabah mengenai peranan kerakyatan kita. Tema Malaysia Prihatin dilihat cuba menggambarkan betapa rakyat Malaysia berada di dalam sebuah negara yang kecil, tetapi memiliki jiwa yang amat besar dan kita semua mahu mengekalkannya sampai bila pun.

Sewaktu Bengkel Remaja O.S.E.M. yang pertama dianjurkan, impian besar rakan pimpinan ABIM Daerah Kuala Selangor ketika itu adalah untuk melihat dan menyaksikan perkembangan remaja di daerah ini menjadi remaja yang memenuhi kriteria O.S.E.M. itu. Boleh disimpulkan sebagai kelompok remaja yang memiliki nilai keprihatinan yang tinggi bukan hanya terhadap diri, keluarga bahkan masyarakat disekitar mereka. Sekiranya kalian masih ingat, O.S.E.M. itu diwakili oleh 'organize', 'simple', 'effevtive' dan 'mature'. Empat pencirian ini diharapkan akan menjadi punca kepada pembinaan diri remaja yang berkaliber dan berketerampilan. Keprihatinan tidak hanya datang secara tiba-tiba, ia boleh dipupuk dan sepatutnya ia diberikan pendedahan dan latihan. Itulah yang sebenarnya diharapkan dari Bengkel Remaja O.S.E.M. dahulu dan sehingga ke tahun 2019, ia terus dijalankan dengan nama baharu, Kursus Asas Fasilitator O.S.E.M..

Hari ini, kita masih bersama dalam kumpulan Alumni OSEM, namun, pergerakan dan penglibatan kita sebagai anak muda yang prihatin masih rendah dan perlu diperbaiki. Seruan buat semua Alumni OSEM, perhatikanlah persekitaran kita, baik dalam atau luar rumah kita, berbuatlah sesuatu untuk kebaikan mereka yang hampir dengan kita. Ingatlah pesanan tentang pentingnya ilmu dalam kehidupan manusia. Ia tidak ubah seperti jantung yang menggerakkan seluruh tubuh kita. Oleh sebab yang demikian, untuk terus merealisasikan usaha pembangunan generasi muda ini, kita telah berjaya menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan dengan nama Kelab OSEM Selangor dengan harapan untuk meneruskan usaha dan kesinambungan yang lebih baik pada masa akan datang. Sempena hari bersejarah ini, kita bersama berdoa agar semua kalian adik-adik dan anak-anak Alumni OSEM untuk bersama dalam persatuan ini dan yang lebih utama untuk membina diri lebih baik agar dapat memberi manfaat kepada persekitaran terdekat kita.

Semoga, dengan tema Malaysia Prihatin sempena Hari Kebangsaan ke 63 ini menjadi titik tolak pembinaan jiwa kita sebagai anak agama, bangsa dan tanah air ini untuk sentiasa bersedia untuk menjadi terbaik, memberikan yang terbaik agar pengakhiran kita juga nanti akan digolongkan bersama orang-orang yang terbaik.

Selamat Hari Kebangsaan ke 63 Malaysia!




Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Pengerusi Kelab OSEM Selangor
Pengasas Kursus Asas Fasilitator O.S.E.M.

Ulasan